Wednesday, December 8, 2010

Folio Kajian Geografi Tempatan


Apakah Kajian Geografi Tempatan?

Ramai orang ingin tahu rahsia untuk membuat folio Kajian Geografi Tempatan (KGT) dengan baik. Bagaimana cara untuk mendapat gred A atau markah yang tinggi atau markah penuh dalam Folio Kajian Geografi Tempatan? Ikutilah panduan guru yang mengajar subjek ini.

Ramai juga yang bertanya, bagaimana dan di mana para pelajar boleh mendapatkan contoh folio Kajian Geografi Tempatan. Untuk tujuan ini, para pelajar boleh melayari laman web Dragonizer.


Keperluan Kajian Geografi Tempatan

Kajian Geografi Tempatan memerlukan murid menjalankan kajian di kawasan yang dipilih. Kajian berfokus kepada ciri-ciri geografi di kawasan kajian selaras dengan tema yang dipelajari mengikut peringkat pembelajaran atau isu-isu geografi semasa.

Huraian: Setiap tajuk mempunyai tema yang tersendiri. Contohnya tajuk Dinamik Penduduk. Adik-adik perlu mengenalpasti taburan penduduk (boleh dibuat pemetaan rumah-rumah) untuk mengetahui kepadatan penduduk di lokasi kajian.

Selain itu, adik-adik juga perlu mengetahui pergerakan atau aktiviti penduduk sebagai tindak balas terhadap faktor ekonomi, politik, sosial dan fizikal. Maksudnya, adik-adik perlu menerangkan kenapa di laut, ramai penduduk bekerja sebagai nelayan, di kawasan hutan, kenapa ramai yang bercucuk tanam dan sebagainya.

Adik-adik juga perlu menerangkan perubahan penduduk dan implikasinya terhadap keperluan penduduk. Ini berkaitan dengan soal pekerjaan juga. Apabila ramai orang mahu bekerja kilang, apakah yang berlaku terhadap aktiviti pertanian di lokasi kajian, contohnya.

Juga kesan perubahan penduduk terhadap alam sekitar. Contohnya, ramai penduduk meneroka hutan, menebang pokok balak. Apakah kesannya terhadap cuaca dan sungai? Sebab kawasan hutan sebagai tadahan hujan telah diterokai. Begitulah seterusnya.


Tujuan Kajian Geografi Tempatan

Kajian juga bertujuan meluaskan persepsi murid terhadap persekitaran dan penguasaan Kemahiran Geografi. Murid dapat mengaplikasi pengetahuan geografi dalam kajian yang dijalankan.


Penekanan Dibuat Semasa Melaksanakan Kajian Geografi Tempatan

Semasa merancang dan melaksanakan kajian, tumpuan perlu diberikan kepada pengembangan dan penguasaan kemahiran berfikir dan kemahiran belajar bagi membolehkan murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara rasional dalam menghadapi cabaran hidup yang semakin kompleks.

Huraian: Sebagai seorang pelajar sekolah, kemahiran berfikir adik-adik diuji menerusi KGT ini. Galakkan kata kunci seperti apa, bila, bagaimana, kenapa dan bagaimana tercetus di minda adik-adik. Kaitkan setiap objek atau subjek yang adik kaji dengan perkara lain. Contohnya, kenapa tanah di sini subur? Kaitkan dengan faktor cuaca, lokasi, bentuk muka bumi dan sebagainya. Kemahiran belajar pula merujuk kepada teknik-teknik atau kaedah pembelajaran yang digunakan. Adakah tindakan yang diambil sesuai dan dapat meningkatkan peluang adik-adik untuk memahami sesuatu perkara yang dikaji.


Kepelbagaian kecerdasan murid perlu diambil kira bagi memperkukuh dan memperkaya pengalaman pembelajaran mereka dalam usaha membentuk manusia yang peka kepada isu atau permasalahan yang berlaku dan mampu membuat ramalan, menjangka akibat serta mengendalkannya ke arah keharmonian dan kecemerlangan hidup.

Huraian: KGT menguji pelbagai aspek kecerdasan, antaranya:
  • Kecerdasan logik: Kemahiran berfikir secara logik. Adik-adik perlu berfikir secara logik untuk setiap perkara yang dicetuskan dan langkah-langkah penyelesaian yang diambil untuk masalah-masalah yang timbul semasa melaksanakan KGT. Juga memikirkan sebab dan punca berlakunya sesuatu perkara, secara logik.
  • Kecerdasan verbal: Kemahiran berbahasa dan menulis. Adik-adik perlu menggunakan bahasa dan karangan dengan betul semasa menulis laporan kajian. Juga bagaimana adik-adik menyusun perkataan untuk diucapkan atau ditulis bagi menyampaikan mesej dan makna bagi sesuatu perkara.
  • Kecerdasan interpersonal: Kemahiran sosial dan berinteraksi dengan orang lain. Bagaimana adik mahu berdepan, mengadakan temubual dengan masyarakat sekitar. Cara adik-adik bertanyakan soalan dan sebagainya.
  • Kecerdasan intrapersonal: Motivasi dalaman. Keyakinan diri. Ketabahan. Rajin. Kejujuran. Minat. Kesabaran dan apa-apa yang berkaitan dengan cara adik-adik mengenali diri adik-adik. Adik-adik perlu tunjukkan yang adik-adik bersemangat, rajin dan berminat untuk menjalankan KGT.
  • Kecerdasan naturalis: Adik-adik perlu bijak memahami keadaan semula jadi adik-adik. Fahami tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman. Bentuk muka bumi. Tanah-tanih. Sungai, tasik, laut, kolam dan sebagainya.
  • Kecerdasan spatial: Adik-adik perlu pandai membuat gambaran secara visual (imej) mengenai lokasi kajian adik-adik. Membuat pemetaan, pelan dan sebagainya.

Di samping itu, kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi perlu dikuasai oleh murid supaya mereka menjadi generasi yang celik teknologi serta dapat memanfaatkanya dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan hidup bersama.

Huraian: KGT akan lebih mudah apabila adik-adik tahu dan pandai menggunakan internet. Jangan terhad kepada penggunaan yahoo.com atau google.com semata-mata. Adik-adik juga boleh menggunakan web carian yang lain seperti metacrawler.com atau savvysearch.com atau lycos.com.


Format penulisan laporan
  1. Tajuk kajian
  2. Senarai kandungan - Isi kandungan dan muka surat
  3. Penghargaan - Terima kasih kepada orang-orang yang telah membantu anda dalam melaksanakan dan menyelesaikan KGT.
  4. Pendahuluan - Pengenalan mengenai KGT dan tajuk kajian yang dibuat.
  5. Objektif kajian - Matlamat atau tujuan yang ingin dicapai menerusi kajian ini. Biasanya ada di dalam buku teks. Berkaitan dengan kaedah kajian.
  6. Kawasan kajian - Lokasi kajian dijalankan atau skop kawasan kajian. Terangkan ciri-ciri seperti bentuk muka bumi, tanah tanih, kelembapan, hujan, tanaman, cuaca, suhu, taburan penduduk dan sebagainya.
  7. Kaedah kajian - Kaedah yang digunakan untuk menjalankan kajian, sama ada temubual, pemerhatian, soal selidik dan sebagainya.
  8. Hasil kajian - Data, maklumat, graf, peta, gambar, carta, jadual dan sebagainya.
  9. Rumusan - Kesimpulan yang dapat dibuat berkaitan dengan perkara yang telah dikaji.
  10. Lampiran - bahan-bahan tambahan yang berkaitan dengan kajian, artikel, keratan akhbar dan sebagainya.
  11. Rujukan - daripada mana bahan-bahan kajian diperolehi, namakan buku, orang perseorangan atau laman web yang digunakan.


Huraian berdasarkan sumber yang dirujuk daripada Sukatan Pelajaran KBSM Geografi PPKK KPM 2000

No comments:

Post a Comment